Kayuhan Santaiwong, Jumaat, 1hb April 2011.
Sebagaimana biasa, jam 7.30 pagi, seorang demi seorang rider akan memunculkan diri mereka di perkarangan Kedai Kayoh Bike Shop (KBS).
Hari Jumaat, hujung minggu di sini, jalan agak lengang jadi berkayuh dari rumah masing-masing ke KBS memberikan satu ketenangan yang jarang-jarang boleh diperolehi pada pagi hari-hari yang lain. Pagi Jumaat di sini, banyak kumpulan berbasikal akan berkumpul dan membuat kayuhan dengan jarak anggaran selama empat ke lima jam perjalanan pergi dan balik kerana masing-masing harus pulang untuk solat Jumaat.
Pagi ini, rancangan kayuhan kami adalah menuju ke Bukit Rotan di jajaran kampung Maras, Batu Rakit dan Pecah Rotan di daerah Kuala Nerus dan bersempadan dengan daerah Setiu dan membuat satu 'loop' atau pusingan balik melalui kampung Lingai, Panchur Sebatu, Panchur Retak, Padang Kemunting, Tepoh dan Gong Badak yang jarak perjalanan lebih kurang 40 hingga 45 kilometer bergantung kepada jalan-jalan kampung yang dilalui.
Dari Kampung Pecah Rotan ke Kampung Lingai terdapat dua trek 'offroad' yang masing-masing jaraknya lebih kurang 8-10 Kilometer yang disajikan dengan bukit-bukit turun naik serta 'downhill' yang cukup mengujakan tetapi sangat perlu berhati-hati kerana jalan tanah merah yang terhakis oleh alur-alur air yang menurun mampu membuatkan seorang rider itu terbang meninggalkan basikalnya.Kami mendapat tahu, sudah ramai yang tercedera di laluan offroad tersebut akibat lalai sesaat. Harga basikal, apa aksessori yang ada atau berapa ringan basikal bukanlah faktor yang penting di laluan ini. Basikal berharga lima belas RM sekalipun, jika tidak berhati-hati, kecundang jua akhirnya.
(Gambar-gambar laluan 'offroad' ini akan di 'upload' di kayuhan yang akan datang kerana tuan tulis tak larat nak ambik gambar ketika semua rider meninggalkan tuan tulis di belakang..jenuh nak kena kejar weh).
Tiba di kampung Pecah Rotan di hujung jalan berturap, terdapat sebuah kedai makan yang menyediakan sajian pagi dan mengikut tuan kedai, mereka akan membuat sajian yang lebih pada hari-hari cuti kerana saban minggu akan ada kumpulan berbasikal yang akan singgah di situ sebelum memasuki laluan 'offroad' yang tiada penghuni di sepanjang-panjang jalan melainkan kebun durian dan hutan belantara tebal.
Sesampai di Kampung Lingai, terdapat satu tempat rehlah yang dikenali sebagai air terjun Panchur Sebatu yang menyediakan tempat mandi-manda yang dingin dan cukup menenangkan jiwa yang kacau setelah seminggu bekerja keras demi meneruskan kehidupan.
Untuk masuk ke Panchur Sebatu ini, terdapat laluan yang baru diturap tetapi menjanjikan bukit-bukit yang dijamin 'tangkap peha' untuk dikayuh dengan senafas. Sila lihat video di atas untuk gambaran salah satu bukitnya yang sempat dirakam. Bukit yang lain tuan tulis tolak basikal jadi tak ada kudrat nak tangkap gambar.
Laluan yang kami lalui pada pagi ini sangat mendamaikan dengan pemandangan yang menyejukkan ditambah dengan kayuhan di dalam air pada laluan terakhir melintasi Bandar (Hantu) Isfahan (atau juga dikenali dengan nama Bandar Satelit) yang pernah menjadi perancangan kerajaan negeri suatu ketika dahulu tetapi sudah tidak lagi dapat dilihat dengan pandangan mata kasar akibat air banjir dan terlindung dengan pokok-pokok yang merimbun. Laluan lebih kurang 5 kilometer ini juga sangat baik untuk riadah berbasikal kerana jarang-jarang terdapat kenderaan lain yang melalui jalan ini selain menyajikan 'sejuk angin' ketika berkayuh.
Akibat hujan berterusan selama lebih kurang seminggu sebelum kayuhan kami, laluan tersebut digenangi air dari parit bersebelahan yang tidak mampu untuk menampung jumlah air yang banyak. Sempat kami berkayuh di dalam air dengan keadaan yang cukup menyeronokkan. Asal jangan tersalah kayuh masuk ke dalam parit, kayuhan boleh dikatakan dan dianggap agak selamat.
Oleh kerana tuan tulis berhasrat untuk memanjangkan hayat blog ini dengan cerita-cerita kayuhan KBC yang akan datang dan dan sudah lepas maka 'entry' ini hanyalah satu mukaddimah sahaja untuk tatapan pembaca dan butiran-butiran hanyalah ditulis secara ringkas (supaya ada cerita lagi di minggu-minggu hadapan, tulis semua karang habis la cerita pulak, kan?)
Untuk mendapatkan gambaran sebenar dan keseronokan berbasikal yang bersifat pengembaraan dan penerokaan, sertailah kami di KBC. Kami tidak berkayuh laju (kecuali Awang), basikal kami tidak berbelas ribu tetapi segenap lorong, jalan dan denai sudah kami terokai dengan niat riadah dan niat ukhwah.
Satu Riadah, Satu Kayuhan, Satu Matlamat, Satu Malaysia dan Satu Ukhwah.
Kayoh Bike Club. Cari kami di Facebook.
Gambar-gambar diambil oleh Unit Media KBC.
~tuan tulis
~KBC2








